Malam semakin larut. Hakikatnya embun dini hari sudah semakin kasar menitis ke bumi. Lantai bot kecil Azam juga turut basah didakap embun jantan bercampur percikan air laut yang sesekali tersimbah ke atasnya.
Azam sejenak termenung jauh sambil memerhati pukat hanyut yang dilabuhkan di sisi buritan bot. Fikirannya melayang jauh. Sesekali dia menarik nafas dalam-dalam sebaik sesak di dada terasa nyilu menikam. Fikirannya sama kusut sebenarnya. Tidak setenang laut yang semakin tua memandangkan hanya beberapa jam sahaja lagi pasaran Lautan Forex di New York bakal melabuhkan tirai mingguan.
Mampukah aku?
Soalan demi soalan tertubi ke benak otak. Namun akal fikirnya terlalu kusut mengenangkan keupayaan dan pencapaian diri sejak sekian lama bernelayan. Hari ini adalah hari terakhir untuknya mencapai perancangan impian. Yang pasti, dia gagal lagi buat kesekian kalinya. Susuk-susuk tubuh yang selama ini setia bersama semakin lama semakin 'minggir'. Lalu aku yang terpinggir, getus hati kecilnya.
Mengapa masih belum tercapai?
Muncul lagi soalan menikam fikiran. Kalbu sudah semakin beku. Harapan sudah semakin sirna. Kegigihan rupa-rupanya tidak cukup walaupun ilmu dan amal dibawa sekali. Nasib? Tuah? Arghh... bukankah kita orang Islam. Nasib dan tuah bertempat batil dalam agama suci ini.
Maka, hati dan fikirnya menyimpul bicara. Rupanya Yang Maha Esa masih belum melayakkannya menerima 'hadiah' itu.
Lantas soalan tanpa jawapan kembali menikam diamnya,
Mengapa aku masih belum layak, Ya ALLAH...
Astaghfirullah...